• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SPRM Tidak Terima Permohonan Ikrar Bebas Rasuah Dari Negeri Pembangkang

Ahmad Razif menyerahkan  dokumen ikrar bebas rasuah kepada Dzulkifli pada  Majlis Menandatangani Bebas Rasuah. Foto Harish Fadzillah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima sebarang permohonan dari mana-mana negeri pembangkang untuk mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya tidak memaksa untuk mana-mana negeri berbuat demikian, sebaliknya SPRM akan menguruskan perkara itu sekiranya dipohon.

Katanya, setiap pentadbiran kerajaan yang memohon perlulah di kalangan mereka yang ikhlas, bertanggungjawab, berani dan rela hati untuk mencegah rasuah dalam setiap urusan pentadbiran masing-masing.


“Ikrar yang dilafaz tidak memberi maksud apa-apa, lebih kepada sifat peribadi, pastinya mana-mana individu yang sudah melafazkan ikrar berasa bersalah untuk melakukan perbuatan itu.

“Saya berharap semua negeri termasuk negeri yang diperintah pembangkang tampil untuk melafazkan ikrar jika benar-benar ikhlas untuk membanteras rasuah,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Kerajaan Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.


Hadir sama,  Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Dzulkifli  turut memberitahu, Terengganu adalah negeri ketujuh yang mengadakan majlis melafaz ikrar , sementara Sarawak menjadi negeri pertama dikuti Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak.

Katanya, lima organisasi kerajaan negeri menandatangani Ikrar Intergriti Korporat (CIP), iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dan yang terbaru, Terengganu Incorporated Sdn Bhd,”katanya.







Tag: