• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SRIDI Kini Jadi Pilihan Ibu Bapa di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa di Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata ia berikutan usaha dan kesungguhan ibu bapa dalam penglibatan aktiviti bersama anak-anak di sekolah semakin memberangsangkan.

"Semua pihak sentiasa bersepadu dan bersungguh-sungguh supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. 

"Sebenarnya, kejayaan seorang murid bukan hanya terletak pada usaha guru semata-mata bahkan ibu bapa juga perlu mencorakkan masa depan anak-anak mereka,” jelasnya.

Ahmad Shah sedang berucap ketika merasmikan majlis tersebut.
Ahmad Shah sedang berucap ketika merasmikan majlis tersebut.



Beliau berkata demikian ketika Majlis Ihtifal Takrim At-Talaamiz Al-Mutafawwikin bertempat di Sekolah Rendah Islam Darul Iman(SRIDI) Bandar di sini hari ini.

Tambah Ahmad Shah, majlis tersebut merupakan satu penghargaan khas untuk murid-murid yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang Akademik, Koakademik dan Kokurikulum.  

“Saya percaya majlis pada hari ini selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. 

“Diharapkan semoga program seperti ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan,” katanya.

Jelasnya lagi, cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. 

“Pada kesempatan ini, saya ingin melontarkan cabaran kepada murid-murid agar dapat membuktikan bahawa anda mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang. 

“Berusahalah dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah,” ujarnya.

Ibu bapa yang hadir meraikan kejayaan anak-anak mereka.
Ibu bapa yang hadir meraikan kejayaan anak-anak mereka.

 


Tag: