• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SSL Beras Terengganu Meningkat, Exco Jawab 'Kerisauan' NGO P.Pinang

KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras berjaya ditingkatkan saban tahun, jawab Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri terhadap 'kerisauan' sebuah NGO dari Pulau Pinang.

Kata Dr Azman Ibrahim, Kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk meningkatkan hasil padi negeri bersandarkan kepada Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.

“Pada tahun 2018 SSL beras mencatatkan 43 peratus dan meningkat kepada 48 peratus pada 2019, 53 peratus (2020), 58 peratus (2021) dan 60 peratus (2022),” ujarnya bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa tanah sawah di Terengganu semakin susut disebabkan projek pembangunan dan komersial.

Dalam kenyataan itu, CAP bimbang masalah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah terbabit, tetapi juga berlaku kepupusan tanah pertanian serta menjejaskan sumber makanan untuk rakyat dan masa depan sektor pertanian negara.

Justeru Dr Azman memaklumkan, mengekalkan kawasan padi sedia ada merupakan antara strategi kerajaan negeri untuk mempertingkatkan hasil padi Terengganu.

“Kerajaan Negeri mempunyai prosedur ketat untuk tukar syarat guna tanah. Pandangan Jabatan Teknikal seperti Plan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan lain-lain akan dinilai. Tanah yang digunakan sebagai kawasan pertanian aktif pengeluaran makanan tidak akan diluluskan untuk kegunaan lain seperti perumahan atau komersial,” tegasnya.

Tambah beliau, dari aspek pembangunan infra pula, Kerajaan Negeri memperuntukan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya.

“Bagi tahun ini pula, lebih RM6 juta diperuntukan kepada JPS bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan sawah padi,” ujarnya.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dalam proses perluasan jelapang padi Terengganu dari 5000 hektar kepada 10000 hektar. 

“Kilang padi di Daerah Besut sebagai jelapang padi utama Terengganu yang dulunya hanya dua buah pada tahun 2018 sekarang telah menjadi empat buah kilang,” ujarnya.