• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SSM Kesan 236 Premis Niaga Di Terengganu Lakukan Kesalahan

 

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu telah menjalankan sebanyak 1,292 pemeriksaan di premis niaga di seluruh negeri dan mengesan sejumlah 236 kesalahan sejak awal tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, daripada 236 kesalahan yang direkodkan, 40 daripadanya adalah kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016, manakala 196 daripadanya adalah kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Bagi peniaga-peniaga yang didapati tidak mendaftarkan perniagaan dengan SSM, notis peringatan 14 hari akan dikeluarkan sebagai peringatan untuk berdaftar dengan SSM. 

“Sekiranya pemilik perniagaan atau syarikat masih gagal mendaftarkan perniagaan selepas tempoh tersebut, kompaun akan dikenakan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya selepas melakukan pemeriksaan pematuhan perniagaan di KTCC Mall di sini semalam.

Tambah beliau lagi,  sepanjang Januari hingga 1 Disember 2020 juga, SSM Terengganu telah mengutip kompaun bernilai RM1.25 juta daripada 10,536 perniagaan dan 925 syarikat yang gagal mematuhi akta diperuntukkan di bawah SSM.

“Kompaun berkenaan dikeluarkan kepada syarikat dan perniagaan terbabit sepanjang 2017 hingga 2019 kerana gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Ia antara lain membabitkan kesalahan seperti pemilik perniagaan atau syarikat gagal menyerah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan kepada SSM, tidak mempamer nombor pendaftaran syarikat atau perniagaan pada premis dan gagal menyimpan rekod perakaunan syarikat,”ujarnya.


Tag: