• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

SSM Sedia RM600 Ribu Untuk Usahawan Terengganu

YB Mohd Nurkhuzaini  bersama penerima geran bantuan SSM. Foto Solahuddin Al Idrus


KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Cawangan Terengganu  memperuntukkan RM600,000 dalam bentuk geran bantuan di bawah program Bizgrant bagi membantu usahawan memulakan perniagaan sepanjang tahun ini.

Peruntukan itu sebahagian daripada RM10 juta yang disalurkan Kerajaan Pusat kepada usahawan yang layak di seluruh negara, termasuk 200 usahawan terpilih di Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, setiap peserta layak menerima geran bantuan RM3,000 seorang.

Katanya, agihan peruntukan dalam bentuk barangan atau kelengkapan berniaga itu disalurkan kepada mereka yang melepasi sesi temuduga khas.

“Kebayakan mereka adalah usahawan Industri Kecil dan Sederhana yang mengusahakan produk karipap, pau, roti canai dan sebagainya,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil  serta Penyerahan SSM Bizgrant di Yayasan Islam Terengganu (YIT), di sini, hari ini.

Nurkhuzaini berkata, sesi temuduga dianggap penting  bagi memastikan mereka yang benar-benar minat berniaga, selain berupaya mengubah ekonomi  keluarga kepada tahap lebih selesa.

“SSM dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan memantau dalam tempoh enam bulan awal bagi memastikan penerima betul-betul menjalankan perniagaan," katanya.




Tag: