• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Strategi ‘Holistik’ Banteras Dadah

KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan negeri melaksanakan strategi secara holistik selaras dengan manifesto pada PRU-14 lalu bagi menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerjasama berterusan dengan beberapa badan berkuasa termasuk Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) turut diperhebatkan bagi menyelesaikan masalah ini bermula daripada akar umbi.

Katanya, peningkatan masalah penagihan dadah dalam kalangan belia pula memerlukan satu jalan yang komprehensif serta melibatkan semua pihak dan anggota masyarakat.

“Di pihak kerajaan, peranan turut dimainkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang melaksanakan inisiatif ‘street dakwah’ memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya dadah.

“Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah juga dalam perancangan untuk mengadakan program 'Bual Bicara' dengan menjemput pegawai daripada AADK atau menampilkan ikon yang telah berjaya bebas daripada dadah atau membuat hebahan tentang bahaya dadah.

“Manakala di peringkat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), satu modul bersepadu bagi menangani masalah sosial termasuk penagihan dadah dalam kalangan belia turut dibangunkan, insya-Allah ini usaha kerajaan,” katanya ketika ditemui UPDI selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nor memaklumkan, usaha membasmi najis dadah tidak terhenti setakat itu selepas Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terengganu yang juga antara manifesto kerajaan negeri mula beroperasi Januari depan di Kem Chador, Marang.

“Insya-Allah jika tiada halangan, kita akan bermula dengan pengambilan 100 pelatih dengan kerjasama (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan.

“Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka  untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan  kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak.

“Modul pusat tersebut diketuai TSIS dengan penglibatan pakar-pakar dan pensyarah universiti, dan ia telah siap untuk digunapakai tahun depan,” tambah beliau.


Tag: