• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Street Dakwah' Ambang Tahun Baharu Didik Golongan Muda

KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Dakwah jalanan sempena ambang tahun baharu 2021 yang diadakan serentak di seluruh Terengganu berjaya mendidik anak muda tentang Islam dan gejala sosial.

Bagi daerah ini, aktiviti yang diketuai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu menyasarkan kawasan-kawasan tertentu yang menjadi tumpuan belia seperti Sekolah Ladang, Drawbrige, Pasarnita, Dataran Astaka dan berakhir di Persisiran Payang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mengedarkan empat risalah antaranya menyentuh berkenaan seruan masyarakat untuk cakna tentang aurat. 

"Kedua, risalah mengenai bahaya dadah agar warga belia jauhi najis dadah dan meningkatkan kesedaran tentang kesan merbahayanya kepada keluarga.

"'Ayuh tolak maksiat', menceritakan kesan buruk aktiviti tersebut dan pendedahan buat orang muda sekeliling. 

"Keempat mengenai solat iaitu tonggak sebuah negeri, jika rakyat menjaga sembahyangnya sudah tentu negeri kita kekal aman," katanya ketika ditemui semasa program itu.

Hadir sama, Pengarah Akademi DUAT, Ramlan Mahmood dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.

Turut terlibat rakan strategi, Skuad Amar Maaruf Kuala Terengganu, Azhar Care, Amerah Terengganu, PESAT &  Alternative Riding Club (TARC), Pemuda Pas Kuala Terengganu dan Jabatan Amal.

Untuk rekod, Akademi Duat Turut melancarkan program Street Dakwah Ambang Tahun Baru 2021 dan Aktiviti Dakwah di peringkat Dun seperti forum dan bicara Daie sempena ambang tahun baru secara serentak di seluruh Negeri bermula 28 hingga 31 Dis 2021. 

Turut dilaksanakan majlis solat hajat dan doa menyambut tahun baru 2021.


Tag: