• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Suami Tembak Isteri : Keluarga Harap Pembunuh Dihukum Setimpal

HULU TERENGGANU, 6 Mac - "Sekiranya dia (suspek) benar-benar didapati bersalah, kami harap hukuman setimpal dikenakan terhadapnya," luah adik perempuan mangsa yang ditembak suami sehingga mati sebelum ditanam dalam sebuah tong air di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.

Katanya, ahli keluarganya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

"Kami akan cuba 'mengunci' mulut daripada memberi sebarang kenyataan yang dirisaukan akan menganggu siasatan polis nanti selain ingin menjaga perasaan kedua orang tua kami yang hari ini (Sabtu) baharu dilihat ada sedikit kekuatan selepas dikhabarkan berita menimpa arwah.

"Bukan bermaksud tidak mahu memberi kerjasama kepada sesiapa terutama pihak media, cuma situasi sekarang masih tidak membenarkan untuk kami mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Kami tahu tragedi menimpa arwah hari ini sudah menjadi tular di media sosial, jadi disebabkan itu kami hendak menjaga hati kedua orang tua kerana risaukan mungkin ada terbaca komen-komen negatif daripada netizen, semangat mereka akan jatuh kembali," katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.

Dia berkata, kali terakhir anak kedua daripada 11 beradik itu balik ke rumah di Kampung Telaga, Kuala Berang, di sini sekitar Ogos tahun lepas, tetapi mereka memang sentiasa berhubung dengan membuat panggilan video.

"Malah pada malam terakhir arwah dilaporkan hilang, dia masih sempat membuat panggilan video kepada kami dalam keadaan yang gembira selain dia masih sempat membuat memuat naik video mengajar anak-anaknya mengaji di dalam status Facebook (FB) miliknya.

"Walaupun arwah jarang balik ke kampung tetapi kami kerap berhubung dengan membuat panggilan video bersama dua anak saudara masing-masing berusia 4 dan 2 tahun," katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, ayah mangsa, Alias Salleh, 62, berkata, menantunya adalah lelaki yang baik dan tidak pernah membuat sebarang masalah sebelum ini.

"Dia (suspek) adalah seorang suami dan menantu yang baik dan tidak ada buat apa-apa masalah sebelum ini. Kami tak sangka yang perkara sebegini akan berlaku.

"Kami sekeluarga sedih dengan perkara ini tapi redha dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh hari ini.

Misteri kehilangan seorang wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.

Lebih mengejutkan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Kes bermula apabila jiran mereka membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, pada Isnin lalu dan membawa penahanan suami wanita itu serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan.