• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Suara Hati Wanita : PDRM Seru Kaum Wanita Menjadi Mata Dan Telinga

DUNGUN, 23 Februari – Kaum wanita diseru agar menjadi mata dan telinga bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam menyalurkan maklumat berkenaan jenayah dan masalah yang berlaku disekeliling komuniti.

Pegawai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Masyarakat (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, DSP Zulkeflee Abu Kasim berkata, peranan ini dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kes jenayah daripada berleluasa.

“Pada pandangan saya program Suara Hati Wanita amatlah baik, ini kerana penglibatan bersama dengan PDRM berpandukan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

“Bila dalam saat selepas COVID-19 kita bersyukur sebab kita dapat berkumpul bersama-sama untuk erat perhubungan kita.

"Perjumpaan begini sebenarnya boleh mendatangkan satu benda positif terutama dari segi luahan hati, perasaan kadang-kadang mungkin dengan individu secara khasnya dan kata orang itu keseluruhan secara amnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak program Suara Hati Wanita yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam.

Menurutnya, program sebegini menarik kerana masyarakat di negeri ini dapat berkongsi antara satu sama lain dan meluahkan masalah yang dihadapi.

“Maksudnya bila kata luahan misalnya sesuatu benda yang terpendam sebelum ini, tetapi bila diluahkan dan dilepaskan dia akan menjadikan satu ketenangan samada masalah diri sendiri, masalah keluarga ke ataupun masalah masyarakat.

“Jadi kita dapat kongsikan bersama dan bila program ini diadakan juga sekurang-kurangnya kita dapat input benda yang kita tak tahu kita jadi tahu,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau menambah PDRM telah mewujudkan satu unit khas yang dikenali sebagai AMANITA dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilapor di kalangan masyarakat.

Katanya, matlamat utama adalah untuk menjadikan suri rumah tangga sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

“Untuk pengetahuan AMANITA dah lama diwujudkan disetiap kontinjen peringkat negeri dan daerah dan setiap balai. 

“Peranan AMANITA  ini adalah pendekatan yang kita ambil bersama masyarakat wanita itu sendiri dimana polis wanita berganding bahu bersama masyarakat wanita terutamanya surirumah tangga untuk bersama-sama dalam mencegah jenayah,” katanya.

 Tambah beliau, pihak PDRM menyediakan kenderaan bermotosikal di mana skuad ini akan  membuat rondaan dari rumah ke kediaman yang lain dan bertanya berkaitan masalah jenayah.

“Setiap tahun sekali kita akan buat  program AMANITA dimana kita akan pilih satu lokasi di setiap daerah untuk panggil masyarakat terutamanya kaum wanita berbincang ,menjelaskan dan bagi penerangan serta minta pandangan, berkaitan hal wanita dan juga keselamatan setempat.

“Jadi inilah sebenarnya ruang dan peluang bagaimana pendekatan yang dikatakan  tadi “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada supaya  hubungan erat komuniti , kolaborasi  antara PDRM dapat  kita sama-sama bagi mencapai matlamat  ujian mencegah jenayah dan  keselamatan amnya,” tegas beliau lagi.