• 26 Okt 2020 | 9 Rabiul Awal 1442

Suasana Aidilfitri Berbeza, Hikmah Buat Semua - Amzad Hashim

Oleh: Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU: 27 Mei - Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada umat Islam kerana berjaya mengharungi ujian keletihan, kelaparan dan kesabaran sebulan Ramadan yang lalu.

Ahli parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mengingatkan bahawa sambutan pada tahun 2020 ini amat berbeza dengan norma kebiasaan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Malah, katanya mungkin bagi generasi baharu ini kali pertama seumur hidup menghadapi suasana yang berbeza kerana wabak pandemik yang dinamakan ‘coronavirus’ atau Covid-19.

"Mungkin hikmah disebalik musibah ini dapat mempertingkatkan amalan kita lebih dari sebelumnya.

“Semoga kesan Ramadan yang baru dilalui akan menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera kepada kita semua, Insya’Allah," katanya dalam, satu kenyataan di laman Facebooknya, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan bukan untuk menyekat kebebasan rakyat tetapi bagi menyelamatkan diri, keluarga, jiran tetangga, negeri dan negara yang tercinta ini.

“Kali ini, kita semua berada dalam suasana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 lalu, dan hingga sekarang telah memasuki Fasa Kelima PKPB (bersyarat).

“Apa pun situasinya, semoga amalan kita pada bulan Ramadan lalu yang disambut kemenangannya pada Hari Raya Aidilfitri ini tidak menjejaskan prestasi dan kualiti amalan kita semua,” katanya.


Tag: