• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sukan Motocross Bakal Gegarkan Terengganu

KUALA NERUS, 5 Februari - Sukan motosikal lasak bakal menggegarkan kalendar sukan Terengganu apabila satu kejohanan bersiri bakal dianjurkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan Terengganu Motocross Series 2023 (TMS 2023) akan mengangkat prestij sukan motosikal lasak sebagai sukan yang mendapat tempat bukan sahaja di Terengganu, tetapi di Malaysia.

Kejohanan tersebut dijangka bermula Mac hingga November tahun ini akan diadakan di litar Kampung Kubang Ikan (Kuala Terengganu), litar Dungun serta tiga litar di Kemaman iaitu Kelimo Kerteh 5, Monica Bay dan Sand Trek Kerteh.

"Kita sangat menyokong sukan ini dan di peringkat kerajaan negeri kita bercadang mengadakan Motocross Terengganu Series di lima lokasi di negeri ini.

"Penganjuran pada hari ini menjadi satu pengenalan dan pembuka kepada program sukan motocross yang pasti menarik minat pelumba-pelumba dari luar dan dalam," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah MYFIT@Motosports Peringkat Zon Timur 2022 di Litar Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Jelasnya, penganjuran kejohanan motosikal lasak tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

"Hari ini kita dapat penyertaan seramai 139 orang dari seluruh negara, kita ada 10 kategori ditawarkan daripada usia lapan tahun sehingga veteran berumur 40 tahun," katanya.

Turut hadir, Pengarah  Belia dan Sukan Negeri Terengganu; Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT); Ahmad Shahrizal Yahaya, Presiden Kelab Motosikal Lasak Chukai (KMX); Aziz Arifin dan Wakil Motosports Association of Malaysia (MAM); Hashim Mohd Yusof.


Tag: