• 04 Ogos 2021 | 25 Zulhijah 1442

KEMAMAN, 10 Disember - Seramai 350 sukarelawan banjir membabitkan agensi-agensi kerajaan, Khidmat Malaysia Negeri Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) diraikan dalam satu majlis kesyukuran yang berlangsung di Dewan Sri Amar, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jasa dan pengorbanan para sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini sangat dihargai.

"Bermula daripada operasi pemindahan banjir, agihan sumbangan, dapur rakyat, gotong-royong, program tukar minyak hitam motosikal dan sebagainya sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ataupun melegakan hati mereka yang dilanda musibah itu.

"Semoga Allah S.W.T jualah yang membalas jasa-jasa yang telah kalian kerjakan," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan program itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut, ADUN Air Putih, Ab.Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, IR Saiful Azmi Suhaili, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Anuar Abdul Rahman, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd Noorhadi Mohd Yusof dan Pengarah Akademi Didik Ulamak AMILIN Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.


Tag: