• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas

KUALA NERUS, 9 September - Kawasan pesisir pantai di daerah ini yang kerap menjadi sasaran segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral akan diberi tumpuan oleh skuad sukarelawan syariah Kuala Nerus dalam usaha membanteras perbuatan maksiat di negeri ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, antara yang menjadi lokasi panas adalah kawasan Pantai Hulu Takir, yang terletak di sepanjang laluan menghala ke jambatan angkat (drawbridge). 


Katanya, seramai 120 anggota sukarelawan dilantik sentiasa bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaporkan sebarang kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah yang berlaku di daerah ini.


“Sukarelawan syariah adalah orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri diletakkan dibawah pemantauan JHEAT, tidak diberi kuasa menangkap dan menyiasat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).


“Bagaimanapun mereka ini sedia tampil memberi maklumat dan bersedia untuk bekerjasama dan menjadi saksi dalam sesuatu kes terutamanya melibatkan kes jenayah syariah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Nerus anjuran Bahagian Penguatkuasaan JHEAT di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Zulkefli Othman, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pencegahan) JHEAT, Kamal Bin Mamat dan Ketua Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, Harun Salleh.


Katanya, inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu telah membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta membantu JHEAT mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai akan kesalahan syariah yang berkuatkuasa di negeri ini.

“Dengan kekuatan anggota penguatkuasa JHEAT yang kurang daripada 10 orang di setiap daerah sudah pasti tidak mampu untuk menjaga penduduk negeri ini, justeru dengan adanya sukarelawan syariah di setiap daerah ini sedikit sebanyak dapat meluaskan pemantauan,” ujarnya.


Dr Alias berkata, tujuan pencegahan dilakukan bukan semata-mata untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan syariah tetapi lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab mencegahnya.