• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

SUKMA 2018: Menembak Tuai Pingat Hari Terakhir

Pasukan menembak kekal positif dengan pencapaian kali ini.

IPOH- Pasukan menembak terus mengutip pingat pada hari terakhir persaingan acara di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, hari ini.

Satu emas menerusi Safirredzuan Salim dalam acara 25M Pistol lelaki individu membantu pasukannya menepati sasaran kontinjen.

Manakala, satu perak turut diraih menerusi acara 25M Pistol lelaki berpasukan diwakili Safirredzuan, Muhammad Syafiqrul Firdaus Mohd Husni dan Nik Muhammad Luqman Nik Omar.

Nur Muhammad Izham M. Azwi pula menghadiahkan dua gangsa melalui acara 50M Rifle 3 Position lelaki individu dan 50M Rifle 3 Position lelaki berpasukan (bersama Muhammad Nabil Mashudi dan Ahmad Azim Aizuddin Mohd Rafii) yang berlangsung di Kompleks Menembak Darul Ridzuan, di sini.

Trio perak pasukan menembak.

Pengurus sukan, Adi Hafiza Ariffin menegaskan pasukannya berjaya mengekalkan prestasi berdasarkan kutipan pingat yang diperoleh.

"Walaupun ramai beraksi kurang baik, kami masih menepati sasaran yang ditetapkan. Saya akui, terdapat banyak halangan untuk meningkatkan konsistensi atlet," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau menyuarakan kebimbangan masa depan sukan itu di Terengganu berikutan ketiadaan lapang sasar untuk digunakan dan mengasah bakat pelapis baharu.

"Boleh dikatakan semua pemenang pingat kali ini akan meninggalkan pentas SUKMA selepas ini, jadi kita akan berdepan kekurangan pengalaman di SUKMA 2020 nanti. Kita ada bakat, tetapi tiada lapang sasar untuk berlatih menyebabkan ramai pelapis hilang minat  dan pembangunan sukan ini terbantut.

"Atlet kita perlu ke luar negeri seperti Pahang, Perlis dan Subang, Selangor bagi mendapat peluang berlatih di lapang sasar. Ini membuatkan kita berdepan kekangan kos dan masa," katanya sambil berharap masalah itu mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pencapaian pasukan menembak boleh dianggap baik kerana selain mengekalkan prestasi mereka berjaya memecahkan rekod kejohanan melalui Muhammad Qamarul Naim Bin Abu Aziz dalam acara 50M Pistol Men's Qamarul yang melakar 541 mata, memadam rekod lama milik bersama Muhamad Muthaihir Johari dan Jasmi Mohamad Zin (540 mata) pada 2012 dan 2014.

Pada SUKMA edisi ke-18 lalu, pasukan menembak berjaya membawa pulang 15 pingat untuk Terengganu.


Trio gangsa pasukan menembak.





Tag: