• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SUKMA 2022: Alia Sumbang Pingat Pertama Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 September - Pelumba basikal wanita yang berkelana di Eropah, Siti Nur Alia Mansor menyumbang pingat pertama buat kontinjen Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, hari ini.

Alia menggondol pingat gangsa dalam acara Berbasikal Lebuh Raya apabila mencatatkan masa 46.25.155 saat pada saingan akhir ujian masa perseorangan wanita melibatkan laluan sejauh 29.7 kilometer di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pagi ini.

Acara tersebut dimenangi pelumba Johor, Siti Nur Adibah Akma Muhd Fuad dengan catatan masa 44.25.801 saat dan pelumba Perak, Nyo Chi Hui (45.52.607) di tempat kedua.

Dalam pada itu, ujian masa perseorangan lelaki akhir (39.9km) pula menyaksikan seorang lagi pelumba Terengganu, Kee Zhe Yie memenangi pingat Perak dengan catatan masa 53.44.086 saat, di belakang pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli yang memenangi Emas dengan catatan masa 53.08.865 saat.

Setakat petang ini, kontinjen Terengganu berada di kedudukan ketiga carta pungutan pingat keseluruhan dengan satu Perak dan satu Gangsa, kedua-duanya daripada skuad berbasikal.

 

 


Tag: