• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

SUKMA 2022: Pasukan E-Sports Terengganu Impi Tiga Emas

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos- Skuad sukan elektronik (E-sports) Terengganu yang akan membuat penampilan sulung di pentas Sukan Malaysia (SUKMA 2022) pada September nanti optimis untuk menghadiahkan tiga pingat emas buat kontinjen negeri Terengganu.

Menurut pengurus pasukan E-sports Terengganu, Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah, sasaran itu dilihat realistik memandangkan barisan atlet sukan tersebut berada dalam momentum terbaik untuk memburu kejuaraan yang pertama kali dipertandingkan dalam sejarah penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA).

“Kita mensasarkan empat pingat emas iaitu tiga pingat dari acara Pro Evolution Soccer 2021 (PES 2021) dan bonus, satu pingat emas dari Mobile Legends.

“Walaupun bakal berdepan cabaran sengit, kami tetap yakin mampu menghadiahkan podium bagi acara Mobile Legends ini. 

“Manakala, bagi acara DOTA kami mensasarkan untuk berada di antara empat pasukan teratas untuk SUKMA 2022 ini,” katanya ketika ditemui sewaktu Kejohanan Terengganu E-Football Championship 2022 di Bukit Payung, Marang, baru-baru ini.

Jelasnya, pasukan dari pantai timur itu juga memiliki nilai tambah tersendiri yang mana sebahagian mereka menganggotai beberapa pasukan profesional persendirian seperti Todak, Homebois dan RSG MY yang beraksi di pentas kebangsaan dan antarabangsa. 

“Kita kini berada di fasa akhir program latihan di bawah kawal selia Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT).

“Komitmen yang tinggi diberikan oleh setiap atlet dan barisan jurulatih kami dalam program latihan ini memandangkan kami semua begitu teruja untuk pertama kali beraksi di pentas SUKMA 2022 di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

SUKMA 2022 akan diadakan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bakal menjadi venue rasmi bagi perebutan pingat sukan elektronik mempertaruhkan tiga jenis sukan elektronik mengikut konsol permainan masing-masing iaitu Pro Evolution Soccer 2021(PES 2021), Mobile Legends dan DOTA 2.

 

 


Tag: