lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Bapa Angkat Memanah Turun Beri Semangat, Sasar Lima Emas
SUKMA 2026: Bapa Angkat Memanah Turun Beri Semangat, Sasar Lima Emas
Amiirullah Mansor
11 jam yang lepas
105

KAJANG, 19 Ogos – Bapa Angkat Sukan Memanah Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat, turun sendiri bertemu barisan atlet memanah negeri di Institut Penilaian Negara (INSPEN) Kompleks Sukan, Kajang, Selangor, semalam bagi memberikan suntikan semangat menghadapi saingan SUKMA Selangor 2026.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu berkata, segala latihan, penat lelah dan disiplin atlet sepanjang persiapan kini perlu diterjemahkan kepada aksi terbaik di medan pertandingan.

“Latihan, penat lelah dan disiplin semuanya sudah dilalui. Sekarang tinggal untuk kita fokus, tenang dan lepaskan anak panah tepat ke sasaran.

“Insya-Allah, kita kekalkan sasaran lima pingat emas. Moga usaha seluruh pasukan dipermudahkan dan sasaran itu menjadi kenyataan,” katanya.

Kehadiran beliau itu turut menjadi tanda sokongan berterusan kepada pasukan memanah Terengganu yang sebelum ini diberikan sasaran untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian lima emas.

Sementara itu, kem memanah Terengganu menerima suntikan awal apabila Muhammad Akmal Danial Baharuddin muncul juara acara compound lelaki SUKMA Selangor 2026 Isnin lalu.

Akmal Danial mencipta kejutan apabila mencatat 700 mata, sekali gus mengatasi rakan senegeri, Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki, yang sebelum ini diletakkan sebagai antara sandaran utama negeri untuk memburu emas.

Satiful berkata pencapaian tersebut diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet lain untuk meneruskan momentum sepanjang kejohanan.

“Alhamdulillah, kita sudah melihat hasil daripada kerja keras atlet. Kejayaan ini bukan untuk kita cepat berpuas hati, tetapi menjadi pencetus semangat kepada seluruh pasukan.

“Kita masih ada misi yang perlu diselesaikan. Teruskan fokus, jaga ketenangan dan berikan yang terbaik untuk Terengganu,” katanya.

Beliau berharap seluruh atlet mampu mengekalkan disiplin dan keyakinan sehingga tamat saingan, sekali gus membawa pulang sebanyak mungkin pingat untuk kontinjen Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan