• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sultan Mizan Bangga UniSZA Bakal Miliki Hospital Sendiri

KUALA NERUS, 7 April – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyatakan perasaan bangga kerana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal memiliki hospital sendiri dalam masa terdekat.

Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) yang berketinggian enam tingkat dan berkapasiti 400 katil kini siap hampir 85 peratus.

Ia dibahagikan kepada dua fasa pembinaan iaitu fasa 1 sebanyak 200 katil dan fasa 2 sebanyak 200 katil.

Baginda bertitah, situasi itu akan memberikan impak berskala tinggi untuk penyediaan kemudahan rawatan dan pencegahan penyakit kepada rakyat.

“Malah, Beta menjangkakan tenaga pakar dalam bidang perubatan mampu mencipta inovasi baharu bagi membendung penyakit berbahaya yang mengancam nyawa manusia.

.

“Dengan penggunaan peralatan dan teknologi tinggi, nescaya banyak perkara yang mampu ditangani dengan cepat dan efektif. Beta mengharapkan universiti ini menjadi sebuah pusat pendidikan yang menyediakan prasarana dan infrastruktur perubatan patuh syariah dan setanding dengan negara maju,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah pada Majlis Syarahan Diraja sempena Sambutan ke-40 Tahun Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di UniSZA, di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis tersebut Sultanah Terengganu yang juga Canselor UniSZA, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az serta dua lagi anakanda pasangan Diraja tersebut iaitu Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Keluarga Diraja itu diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Naib Canselor UniSZA ,Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Bersempena dengan sambutan ke-40 tahun UniSZA, Sultan Mizan turut berharap konsep kesepaduan ilmu yang pernah dikuasai cendiakawan Islam pada suatu masa dahulu diperhebatkan di negeri ini.

“Terengganu sememangnya mempunyai pelbagai institusi ilmu dalam pelbagai bidang, namun agenda penting yang perlu difikirkan adalah bagaimana setiap institusi ilmu tersebut mampu memainkan peranan secara optimum.

“Ia bertujuan melahirkan dan membangunkan anak negeri serta negeri ini secara muafakat agar tiada rakyat Beta yang terpinggir dalam menghadapi cabaran kepesatan teknologi terkini,” titah baginda.

 


Tag: