• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sultan Mizan Saksi Manuskrip Al-Quran Emas Terengganu

Manuskrip al-Quran emas warisan kesultanan Terengganu.
KUALA NERUS, 11 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyaksikan  manuskrip al-Quran emas yang merupakan warisan kesultanan Terengganu tertua, bertarikh 27 Disember 1836 masihi dan pernah dihasilkan ketika zaman Sultan Mansor II pada tahun 1831 hingga 1836 masihi.

Manuskrip itu buat julung kalinya dipersembahkan pada Majlis Santapan Malam sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-16 di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre, malam tadi.

Sehubungan itu, mushaf al-Quran Terengganu itu akan dipamerkan setelah kajian terperinci mengenainya dilaksanakan oleh Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr Riswadi Azmi.
Sultanah Nur Zahirah berkenan melakukan gimik pelancaran buku Beautiful Terengganu.
Difahamkan, pihak UMT akan mempamerkan keindahan manuskrip itu dan kajian mengenai sumbangan kesultanan Terengganu terhadap penyalinan al-Quran kepada umum pada 11 hingga 13 November ini di Pusat Islam Sultan Mahmud.

Sempena majlis santapan malam itu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Canselor UMT turut melancarkan buku 'Beautiful Terengganu' yang diterjemahkan dalam lima bahasa iaitu bahasa Arab, Jerman, Perancis, Mandarin dan Jepun.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Dato' Seri Halim Mohamad dan Naib Canselor UMT, Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar.

Beautiful Terengganu diterjemahkan ke dalam lima bahasa.



Tag: