• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Sambut Baik Setiu Sebagai Gedung Makanan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyambut baik usaha kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri.

Titah Sultan Mizan, melihat kepada kepentingan menyediakan sumber makanan yang mencukupi kini, baginda menyeru supaya kerajaan negeri memberi perhatian yang serius dalam usaha membangunkan sektor pertanian ke satu tahap lebih tinggi. 

“Ini memandangkan sektor pertanian menjanjikan pulangan ekonomi yang berbaloi jika dilaksanakan dengan kaedah yang tepat. 

“Beta dimaklumkan Tahun Pertanian 2021 sedang berjalan lancar, sejumlah RM25.3 juta iaitu peningkatan empat kali ganda telah diperuntukkan berbanding tahun 2020 yang melibatkan pelaksanaan 72 program dan 33 projek pertanian. 

“Antara program utama yang telah dilaksanakan adalah insentif pengeluaran beras MyGAP, penanaman Melon Manis Terengganu di Rantau Abang dan Projek Melabuh Unjam Dan Tukun di Perairan Terengganu,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu.

Katanya, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.

Dalam, perkembangan sama, Sultan Mizan turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya memperolehi peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperkasa sektor pertanian Negeri Terengganu.

“Beta juga menyambut baik usaha kerajaan Negeri meningkatkan fasiliti pengeluaran air bersih supaya gangguan bekalan air terutama di musim perayaan dapat dielakkan,” titah Sultan Terengganu
 


Tag: