• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

Sultan Mizan Seru Umat Islam Sambut Aidilfitri Ikut Syarak

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini agar menyambut Aidilfitri mengikut kehendak syarak dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang termasuk pembaziran dan bermewah-mewahan.

Baginda bertitah, umat Islam perlu memahami bahawa matlamat hari raya bukan semata-mata hari yang disambut dengan bergembira dan hidangan pelbagai makanan tetapi sambutan hari raya dalam Islam adalah mengajak umatnya kembali kepada Allah S.W.T dengan bertakbir dan bertahmid serta memuji kebesaranNya.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini memberi seribu makna dan pengajaran kepada kita lebih-lebih lagi tahun ini amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia belum berakhir.

"Solat sunat hari raya di masjid dan surau tidak dibenarkan, aktiviti ziarah menziarahi dihadkan, tiada lagi salam bersalaman sesama kita dan rumah terbuka, justeru sambutan hari raya tahun ini akan sentiasa menjadi ingatan kepada kita semua," titah baginda.

Dalam perutusan khas sempena Aidilfitri, baginda turut bertitah agar umat Islam menyuburkan budaya saling bermaaf-maafan, mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan tali persaudaraan serta bersama-sama membantu mereka yang terjejas dan terkesan dengan wabak COVID-19.

"Bantulah mereka agar sama-sama merasai kegembiraan menyambut hari raya, berkongsilah limpahan rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T dengan memperbanyakkan sedekah kepada golongan memerlukan.

Sultan Mizan bertitah di samping bergembira menyambut Aidilfitri, umat Islam perlu bersama-sama menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh barisan hadapan yang berkerja membendung wabak COVID-19 dari terus merebak terutamanya doktor dan jururawat serta kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Juga pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba Dan Pemyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan semua pihak yang berterusan mencurahkan khidmat bakti bagi memastikan kita semua dilindungi dan selamat sehingga membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman," titah Sultan Mizan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih terhadap barisan hadapan dan keluarga mereka atas pengorbanan dan khidmat bakti dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

"Kepada rakyat jelata beta nasihatkan jaga kebersihan diri, terus berada di rumah, keluar apabila perlu sahaja, dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat," titah baginda.


Tag: