• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Sultan Mizan Solat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah

KUALA NERUS, 17 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 7.50 pagi.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Turut menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar mengimamkan solat sunat Aidiladha dan menyampaikan khutbah bertajuk Aidiladha: Kemuncak Kejayaan Seorang Hamba.

Sultan Mizan bersama Tengku Muhammad Ismail berkenaan menunaikan solat sunat bersama kira-kira 1,500 rakyat Terengganu.

Selesai menunaikan solat sunat, Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda bersalaman bersama jemaah yang hadir sebelum mencemar duli menziarahi Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Sultan Mizan berangkat pulang sekitar jam 9.00 pagi.

 


Tag: