• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sultan Mizan Sukacita, Perumahan Jadi Agenda Teras Kerajaan Negeri

Sultan Mizan berkenan bertitah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Tg Syamim Tg Ismail

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa sukacita kerana kerajaan negeri menjadikan perumahan sebagai satu agenda teras dengan tumpuan ke arah memastikan keperluan perumahan di kalangan seramai mungkin rakyat dapat dipenuhi.

Titah Sultan Mizan, memandangkan perumahan adalah satu keperluan asas kepada rakyat, baginda inginkan yang terbaik untuk rakyat terutamanya dalam memberi keselesaan kepada bakal pemilik rumah.

“Beta amat gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri yang telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengisi agenda perumahan rakyat antaranya salah satu insiatif Program Perumahan Rakyat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 melalui Rolling Plan Ke-2.

“Projek di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini melibatkan pembinaan 500 unit rumah dengan kos keseluruhan sebanyak RM83.4 juta yang mana dapat menampung keperluan perumahan untuk 500 keluarga yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40,” titah baginda.


Sultan Mizan bertitah berkenaan ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Tengku Sri Temenggong Raja, kerabat-kerabat Raja dan Ahli Dewan Pangkuan DiRaja.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Titah Sultan Mizan, kerajaan negeri telah memperkenalkan program "Terengganuku" iaitu satu program perumahan untuk menggalakan belia yang sudah berumahtangga di bawah umur 40 tahun, dan kakitangan awam negeri, membeli rumah pertama mereka.

“Di bawah program "Terengganuku" ini, kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM 40,000 bagi setiap unit Pangsapuri Ladang Tok Pelam dan Pangsapuri Bandar Baharu Kerteh,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM13 Juta bagi pembinaan 200 unit rumah bagi Program Penempatan Semula Nelayan.

“Beta berharap projek ini yang akan dilaksanakan di Pulau Sekepeng, Kemaman, Benting Lintang (Besut) dan Seberang Penarik (Setiu) dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi golongan nelayan.

“Usaha mengisi keperluan perumahan rakyat adalah usaha yang sangat tepat lagi murni. Beta berharap, lebih banyak lagi projek perumahan dapat dilaksanakan supaya lebih ramai rakyat dapat memliki rumah yang mereka idamkan,” titah baginda.

Tag: