• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Sultan Mizan 'Underwater Photography 2024' Bermula 1 Mac

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2024 yang akan bermula 1 Mac ini dijangka menarik lebih 1,000 penyertaan dari penggemar fotografi seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, pertandingan cetusan idea Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu dilihat dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan di pulau-pulau yang terdapat di Terengganu.

"Ia juga diharap dapat menarik lebih ramai peminat selam skuba dan fotografi bukan sahaja dari dalam negara, malah dari seluruh dunia.

"Melalui kajian profiling selam skuba yang dilakukan, kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu telah mengenalpasti tujuh pulau utama di Terengganu yang menawarkan lebih 128 tapak selaman dengan pelbagai keunikan yang boleh diterokai peminat selam skuba dan jurugambar 'underwater'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2024 di Dataran Shahbandar, semalam.

Bagi edisi kedua pertandingan kelolaan kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Terengganu (Tourism Terengganu) itu, Sulaiman memaklumkan bahawa ia terbuka kepada semua peserta tanpa melibatkan sebarang yuran penyertaan.

Gambar-gambar pertandingan boleh dihantar secara dalam talian bermula 1 Mac sehingga 31 Oktober 2024 dengan maksimum dua penyertaan bagi setiap kategori.

"Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu 'Wide Angle' dan 'Macro' bagi kelas Grand Award (jurugambar profesional) dan tiga kategori bagi Ocean Spirit Award (jurugambar pemula) iaitu kategori 'Wide Angle', 'Macro' dan 'Short Video'.

"Namun, diingatkan semua gambar yang dihantar wajib diambil di perairan negeri Terengganu," ujarnya.

Para peserta juga diwajibkan menyertakan bukti pembayaran penginapan di mana-mana hotel, resort atau pusat selam skuba di negeri Terengganu dalam penyertaan yang dihantar.

Bagi yang berminat, maklumat dan syarat pertandingan boleh didapati di laman sesawang rasmi https://sultanmizanphotography.com/

 

 


Tag: