• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Terengganu Titah Jemaah Tumpu Ibadah, Pamer Akhlak Baik

KUALA NERUS, 3 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menasihati rakyat Terengganu yang berpeluang menunaikan haji di tanah suci Mekah supaya menumpukan sepenuh perhatian dalam melaksanakan ibadah tersebut.

Baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berangkat tiba ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud diiringi Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin sekitar jam 9.30 malam bagi menyempurnakan pelepasan rombongan terakhir 139 bakal haji yang berangkat dari Stesen Kuala Terengganu, malam tadi.

Selain merakamkan ucapan tahniah, baginda turut berkenan mendoakan agar para bakal haji dikurniakan kemudahan dalam melaksanakan rukun Islam kelima itu.

"Para jemaah haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas untuk melaksanakan ibadah yang sempurna, selain memasti semua nasihat dan arahan Tabung Haji dipatuhi.

"Ini kerana, hanya dengan pelaksanaan ibadah haji yang sempurna disulami akhlak yang baik akan membawa jemaah ke arah Haji yang mabrur, insya-Allah.

"Semua jemaah juga harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

"Beta dan Sultanah mendoakan agar semua jemaah haji negeri Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah SWT agar dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna dan kembali dengan Haji yang mabrur," titah baginda.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah turut menyampaikan kurniaan kepada bakal-bakal haji yang akan memasuki balai berlepas untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS).

Tahun ini, seramai 1,257 bakal haji berangkat dari Stesen Kuala Terengganu terdiri daripada 561 bakal haji lelaki dan 696 bakal haji wanita.

 

 

 

 


Tag: