• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Terengganu Tunai Solat Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 40 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Mizan pada jam 8.25 pagi dengan berpersalinan lengkap baju Melayu berwarna putih turut ditemani Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az.

Mengiringi baginda bertiga, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Solat sunat Aidiladha hari ini diimamkan Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Tidak sebagaimana kebiasaan, selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, baginda bersama kedua anakanda berangkat pulang tanpa menziarahi makam diraja yang terletak di kawasan Masjid Al-Muktafi Billah Shah sebagai perkenan menghormati SOP yang ditetapkan kerajaan sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Para jemaah yang hadir juga dilihat mematuhi segala SOP dengan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

Pihak pengurusan masjid turut membuat pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi memastikan hanya jemaah yang sihat sahaja menunaikan solat.


Tag: