Sultanah Nur Zahirah Berkenan Berangkat Ke Hospital Setiu

SETIU, 10 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Hospital Kluster Setiu, Terengganu, bersempena sambutan ulang tahun ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kelmarin. 

Mengiringi baginda, paduka anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja serta diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Keberangkatan tiba Sultanah turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Hospital Setiu, Dr. W. Md Shihabudin Wan Mamat.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik.

Sultanah Nur Zahirah berkenan meluangkan masa selama satu jam meninjau wad kanak-kanak dan wad bersalin di hospital berkenaan.

Dalam masa sama, baginda turut beramah mesra bersama pesakit dan kakitangan perubatan, selain menyantuni ibu-ibu yang sedang menerima rawatan selepas melahirkan anak.

Sejak penubuhannya, Hospital Setiu telah berkembang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan, termasuk unit kecemasan dan trauma, hemodialisis, klinik pakar, serta wad bersalin dan pediatrik, menjadikannya pusat rujukan penting di kawasan tersebut, memberi akses mudah bagi penduduk tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hospital di daerah lain

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Hospital Setiu mula dibina pada Oktober tahun 2000 di bawah Projek Rancangan Malaysia ke – 7. Ia merupakan 'Turnkey Project' dengan kos pembinaan sebanyak RM65,662,790.

Memulakan operasinya pada 7 Disember 2003 dengan pembukaan unit kecemasan, diikuti dengan pembukaan wad perempuan pada Januari 2004, wad lelaki pada April 2004 dan wad kanak-kanak pada Oktober 2004 manakala, dewan bersalin pula telah dibuka kepada pesakit mulai 9 Mei tahun yang sama.

Meliputi kawasan seluas 8.3 hektar dari 16.2 hektar luas kawasan dengan jarak dua kilometer dari Bandar Permaisuri, ia berada dengan jarak 72 kilometer dari daerah Kuala Terengganu dan 40 kilometer dari Jertih, Besut.


 


Tag: