• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sultanah Terengganu Berkenan Lawat Mangsa Banjir

DUNGUN, 11 Januari - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Masjid Kampung Serdang, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11.10 pagi turut diiringi oleh Puan Sri Nariah Mahmud, Datuk Radzuan Radziwil serta Cik Azizatul Shima Tan Sri Abdullah dan disambut Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan isteri, Suhaida Muhammad.

Baginda turut berkenan mendengar taklimat yang disampaikan Pegawai Daerah Dungun.

Sultanah Nur Zahirah dan anakanda berkenan mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa penduduk yang terjejas bah sebelum mengurniakan sumbangan makanan dan keperluan harian.

Penerima sumbangan, Maliza Mat Ali 40, berkata kesempatan kali pertama dapat bersua dengan Sultanah Terengganu cukup menggembirakannya.

Kata ibu kepada tiga anak itu, dia hanya melihat Sultanah Nur Zahirah di televisyen sebelum ini dan peluang dapat berjumpa dengan baginda cukup mengujakan.

"Saya lebih bersyukur kerana baginda turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini.

"Terima kasih kepada baginda dan anakanda yang sudi menjenguk dan menghulurkan sumbangan," katanya yang terpaksa berpindah dua kali sejak gelombang keempat melanda Terengganu.

Setakat 12 tengahari ini, mangsa banjir terus menurun kepada 517 orang di dua daerah di Terengganu berbanding 1,694 orang pada 10 pagi tadi


Tag: