Berita :
Sumbangan Bakul Ramadan Ringankan Beban Golongan Memerlukan - Ariffin
Sumbangan Bakul Ramadan Ringankan Beban Golongan Memerlukan - Ariffin
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menjalani ibadah puasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman turun padang menghulurkan bantuan di bulan mulia ini.

Inisiatif murni tersebut menyasarkan agihan sebanyak 1,230 bakul makanan kepada penerima yang telah dikenalpasti terdiri daripada golongan fakir miskin, warga emas serta ibu tunggal daripada komuniti setempat melibatkan Mukim Gelugor Rengas, Kepong Serada dan Alur Limbat.

“Alhamdulillah, hari ini saya menyampaikan agihan bantuan bakul Ramadan kepada penerima daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Binjai Bongkok dan JPKK Pak Madah di Perkarangan Masjid Binjai Bongkok.

“Setiap sumbangan yang dihulurkan bukan sekadar bantuan keperluan asas, tetapi tanda ingatan dan kebersamaan kita dalam bulan penuh keberkatan ini. Semoga ia membawa kelegaan, kegembiraan dan sinar harapan buat semua penerima,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Terdahulu, beliau turut mengagihkan bantuan bakul Ramadan kepada penerima dari JPKK Tebakang dan JPKK Padang Khabar di Balairaya Tebakang.

Agihan bantuan bakul Ramadan juga disalurkan kepada para penerima dari JPKK Banggol Pak Ali dan JPKK Banggol Kapas yang berlangsung di Dewan Sri Pahlawan Banggol Pak Ali dan juga lain-lain JPKK lagi.

Menurut Ariffin, di sebalik setiap bakul yang diserahkan ada cerita kehidupan yang pelbagai.

“Ada ibu yang tabah membesarkan anak-anak, ada warga emas yang tetap kuat menghadapi hari-hari mendatang. 

“Ramadan mengajar kita untuk lebih peka dan hadir bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang membawa makna,” ujarnya.

Katanya, semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menceriakan persiapan berbuka puasa keluarga yang menerima. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan