• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Sungai Kelemin Semakin Diminati



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 3 September- Sungai Kelemin, Kampung Talong semakin menjadi tumpuan ramai dan telah menjadi antara lokasi pilihan untuk aktiviti perkelahan di Bukit Besi.

Rata-rata pengunjung  menyatakan lokasi perkelahan itu menarik minat kerana mempunyai sungai yang cetek serta selamat untuk aktiviti mandi sungai.

Pengunjung Bilal Abdul Ghani, 40, yang pertama kali mengunjungi Sungai Kelemin berkata, pemanduannya dari Kuala Terengganu untuk membawa keluarga ke lokasi perkelahan itu amat berbaloi.

"Memang puas hati datang ke sini, sungai yang cetek amat sesuai untuk anak-anak melakukan aktiviti mandi sungai.

"Dari sudut penambahbaikkan yang saya lihat untuk jangka masa panjang ialah perlu ditambah pokok berteduh dan boleh ditambah wakaf kerana dilihat pengunjung semakin bertambah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di lokasi berkenaan, kelmarin.


Sementara itu, penduduk setempat Abu Bakar Hasmir, 40, yang juga pertama kali tiba di sungai itu berkata, lokasi perkelahan Sungai Kelemin perlu menjadi lokasi pilihan kepada mereka yang suka berkelah di kawasan sungai.

"Saya dapat tahu mengenai sungai ini dan tertarik untuk datang ke sini apabila ianya telah 'diviralkan'. Saya syorkan kepada semua, datanglah ke sini, perjalanan dari bandar Dungun hanya setengah jam sahaja," ujarnya.

Tambahnya, air sungai yang cetek tidak terlalu sejuk memyebabkan anaknya begitu teruja mengambil peluang untuk bermain di air dengan tempoh yang lama.

Bagi Azlan Jaafar, 42, merupakan salah seorang Pensyarah di  Institut Pengajian Guru (IPG), berkata, beliau memilih Lokasi Sungai Kelemin kerana ingin menerokai suasana baru dan tempat baru yang masih belum ramai yang tahu.

"Berpandukan maklumat yang diberikan oleh rakan, saya cuba mencari berpandukan 'google’.

"Ternyata apabila datang bersama keluarga ianya memberi kepuasan yang tiada terhingga, InsyaAllah saya akan maklumkan kepada ahli keluarga yang lain, sahabat handai dan lain-lainya supaya datang ke sini," jelasnya.


Sehubungan Sungai Kelemin mula mendapat tempat, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya bersyukur apabila ditularkan melalui laman facebook, semenjak setahun yang lalu kedatangan pengunjung yang kian bertambah telah mengubah suasana suram satu ketika dahulu.

"Dimana dahulu tiada yang mengetahui akan sungai ini, saya optimis untuk menjadikan lokasi ini lebih komersial sebagai lokasi pelancongan domestik.

"Beberapa kemudahan telah pun kita tambah dimana pada tahun lepas kita dah buat tandas dan wakaf, dengan keadaan pengunjung semakin ramai ini InsyaAllah kita akan cuba untuk melakukan penambahbaikkan dengan lebih lagi.

"Teguran dari pengunjung juga kita akan ambil maklum diantaranya ialah mengenai papan tanda yang tidak diletakkan di susur keluar daripada lebuh raya, hanya ada satu sahaja, apabila mendekati lokasi perkelahan ini baru terlihat signboard,"ulasnya.

Disamping itu juga, beliau bersyukur kerana semenjak lokasi perkelahan itu semakin diminati dan semakin dikunjungi ianya juga telah memberi impak positif kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti jualan dan sebagainya.


Tag: