• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Suntikan RM28.9 Juta Untuk Usahawan Bumiputera Terengganu


Nawi (tengah) bergambar kenangan bersama usahawan Terengganu pada majlis berkenaan.
Kerajaan  memperuntukkan RM28.9 juta kepada usahawan Bumiputera negeri ini menerusi  Program Peningkatan PKS Bumiputera sejak 2006.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar,Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata, program itu bagi membantu mempercepatkan pembangunan usahawan  Bumiputera negeri ini.

"Program BEEP ini sememangnya direka khas untuk memberi bantuan kepada usahawan Bumiputera dari segi perolehan mesin dan peralatan, perolehan persijilan dan pengurusan sistem kualiti, penjenamaan, pengiklanan dan promosi, pembungkusan dan pelabelan serta inovasi," katanya pada majlis penyampaian geran perniagaan kepada tujuh usahawan Terengganu di MGV Industries Sdn Bhd, Kawasan Perindusrian Gong Medang, Besut, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Nawi yang juga calon BN Hulu Besut berkata, sebanyak 246 syarikat milik Bumiputera mendapat manfaat daripada program yang diperkenalkan sejak 2006.

Beliau berkata, Terengganu merupakan negeri yang menerima suntikan dana tertinggi selepas Melaka berjumlah RM23.85 juta, Pulau Pinang sebanyak RM18.08 juta dan Johor RM15.38 juta.


Katanya, program Peningkatan PKS Bumiputera (BEEP) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Terengganu berjaya melahirkan ramai usahawan berjaya.

Menurut Nawi, tumpuan utama pembiayaan kita pada tahun ini adalah syarikat-syarikat yang mempunyai nilai impak tinggi terutama dalam sektor pembuatan, sektor perkhidmatan profesional, minyak dan gas serta teknologi tinggi.

Tambahnya lagi, walaupun pelbagai syarikat Bumiputera yang berjaya dilahirkan melalui program BEEP ini seperti  syarikat MGV Industries Sdn Bhd dan Mutiara Ricemills Sdn Bhd di Besut,  kerajaan tidak berhenti begitu sahaja malah sentiasa mencari keperluan bagi membantu usahawan PKS.

Malah katanya, pada masa yang sama kerajaan sedang merancang pelbagai usaha yang boleh diambil untuk mempertingkatkan bidang keusahawanan bumiputera di negeri ini.


Tag: