• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Suntikan Vaksin Untuk ‘Frontliners’ Bermula

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Program suntikan vaksin Covid-19 kepada melibatkan seramai 281 petugas barisan hadapan telah diadakan hari ini di Klinik Kesihatan Chendering.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Chendering, Dr Norhana Yazid memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah memilih tarikh yang bersesuaian dengan hari bekerja dan bilangan anggota yang akan disuntik iaitu pada 2, 3, 7, 8, 9 dan 10 Mac.

“Di Kuala Terengganu terdapat dua buah pusat yang menjalankan suntikan vaksin iaitu Klinik Kesihatan Chendering dan Klinik Kesihatan Manir.

“Frontliner di Klinik Kesihatan Chendering hanya petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas kesihatan manakala di selebihnya seperti anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Klinik Kesihatan Manir,” katanya.

Menurutnya lagi, suntikan kedua akan diberikan selepas 21 hari daripada tarikh menerima suntikan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi hadir ke Klinik Kesihatan Chendering bagi memantau proses suntikan vaksin yang dijalankan.

“Saya dimaklumkan bahawa persiapan untuk memulakan suntikan vaksin ini telah dibuat selama dua minggu.

“Alhamdulillah, saya lihat hari ini proses suntikan vaksin ini disusun dengan baik dan teratur termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sangat memuaskan,” katanya.