lightning-solid
Berita :
Suri Rumah Rugi Lebih RM70,000 Diperdaya Skim Pekerjaan Palsu
Suri Rumah Rugi Lebih RM70,000 Diperdaya Skim Pekerjaan Palsu
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 14 Januari -  Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian RM70,731 selepas diperdaya sindiket skim pekerjaan sambilan yang tidak wujud, awal bulan ini.

Mangsa berusia 28 tahun itu bukan sahaja menggunakan simpanan peribadi, malah turut meminjam wang daripada ahli keluarga sebagai modal untuk menyertai pekerjaan sambilan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa dihubungi seorang individu tidak dikenali pada 2 Januari lalu yang mendakwa sebagai wakil sebuah platform beli-belah dalam talian terkenal.

“Suspek pada awalnya memikat mangsa dengan menghantar hadiah sebelum menawarkan peluang pekerjaan sambilan dengan janji komisen lumayan.

“Mangsa yang tertarik kemudian bersetuju untuk menyertai pekerjaan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa diminta membuat bayaran kononnya sebagai modal bagi melaksanakan tugasan yang diberikan.

Katanya, mangsa melakukan tujuh transaksi perbankan dalam tempoh dua hari bermula 11 Januari lalu, melibatkan jumlah keseluruhan RM70,731.

“Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila tidak menerima sebarang komisen seperti dijanjikan walaupun telah membuat bayaran.

“Selepas menyedari diperdaya, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.

Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Tag :

Artikel Berkaitan