• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Syaikh Ismail Anak Jati Terengganu Terima Anugerah Kehormat UniSZA

Imam Besar, Masjid Negara Kuala Lumpur, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad 
KUALA NERUS 17 November-Imam Besar, Masjid Negara Kuala Lumpur, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Pengajian al Quran pada majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-10 di sini hari ini.

Anugerah disampaikan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di atas sumbangan beliau terhadap kemajuan dalam bidang al Quran negara.

Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Syaikh Haji Ismail Muhamad, 74, anak kelahiran yang berasal dari Padang Pulut, Dungun, Terengganu berkelulusan lulusan ijazah Al-Qiraat dan Ulum Quran Maahad Al-Qiraat dari Universiti Al-Islam Azhar Shubra, Kaherah, Mesir pada tahun 1970.

Beliau juga memberi sumbangan dalam bidang musabaqah tilawah dan menghafaz al Quran peringkat negeri dan kebangsaan sejak 1982 hingga sekarang serta menyandang  jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Tilawah al Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada 2010 hingga kini.

Syaikh Ismail berkata anugerah ini merupakan satu hadiah yang tidak ternilai baginya setelah sekian lama berkhidmat dalam bidang al Quran .

"Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan saya kerana dicalonkan untuk anugerah tertinggi ini dan mengucapkan rasa syukur kepada Allah Taala serta terima kasih yang tidak terhingga kepada UniSZA atas penghormatan luar biasa memilih saya.

"Pengiktirafan ini sebagai penghargaan terhadap pecinta al Quran yang tidak ada tolok bandingnya,"katanya.

Syaikh Ismail berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Ke-10 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus, di sini hari ini

Beliau juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Terengganu 2010, dan Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2015.

Syaikh Ismail turut menyumbang dalam bidang pentadbiran dengan memegang pelbagai jawatan antaranya Pengetua Ma'had Tahfiz al Quran negeri Terengganu (1982-1992), Ahli Lembaga Institut al Quran, Terengganu(2011-sekarang)dan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dari 2012-2014.

Di samping itu, beliau juga aktif dalam program rakaman al Quran di Radio Televisyen Malaysia(RTM), membuat rakaman 30 juzuk al Quran di bawak kelolaan Yayasan Terengganu dan merakam al Quran  secara tartil di bulan Ramadan.



Tag: