• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Syarikat Greenverse Mohon Maaf Tak Guna Bahasa Melayu

KEMAMAN, 5 Jun - Syarikat Greenverse Holding yang terpalit dengan kontroversi tidak menggunakan bahasa melayu dalam satu majlis perasmian Projek Kilang Pemerolehan Kembali Buangan Berjadual di Kerteh di daerah ini tampil memohon maaf.

Pengarah Urusan Greenverse Holding, Dato’ Alex Heng Sia Kwang mengakui kesilapan tersebut kepada semua rakyat Malaysia terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Saiful Azmi Suhaili selaku perasmi majlis berkenaan.

“Syarikat kami menzahirkan perasaan dukacita atas isu yang dibangkitkan oleh (orang ramai) di media sosial kerana kesilapan kami tidak mengunakan Bahasa Melayu di paparan sewaktu keterlibatan YB (Ir Saiful Azmi) dalam majlis tersebut. 

“Kesilapan ini adalah tidak disengajakan kerana pihak kami sangat teruja untuk meraikan majlis tersebut yang dirancang dalam masa singkat dengan jemputan yang terhad kepada rakan-rakan perniagaan terdekat sahaja,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Menurut Alex Heng, pihaknya berjanji perkara itu tidak akan berlaku lagi di masa hadapan dan kesilapan tersebut akan menjadikan mereka lebih matang dalam meraikan sesuatu program syarikat.

“Komitmen kami untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan memberikan manfaat kepada masyarakat di Kerteh tidak terkesan dan akan terus dipertingatkan.

“Kami mengambil maklum segala komen yang negatif dan positif dalam kami membina hubungan terbaik di dalam perniagaan kami,” jelasnya.

Tiga hari lalu, orang ramai mempersoalkan penganjuran majlis tersebut kerana menggunakan bahasa cina sepenuhnya.

Netizen menganggap tindakan itu tidak wajar dan menuntut penjelasan penganjur kerana bahasa rasmi di Malaysia adalah bahasa melayu.

Dalam pada itu, projek yang mendatangkan pelaburan sebanyak RM247 juta dijangka mampu membuka lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat sekali gus akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan. 

 


Tag: