• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Syarikat Telekomunikasi Rugi RM10 Juta Setahun Akibat Kecurian Kabel



Syarikat-syarikat Telekomunikasi di Malaysia terpaksa menanggung kerugian hampir RM10 juta setahun akibat kecurian kabel menara telekomunikasi yang sering berlaku kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato'Jailani Johari berkata beliau kesal dengan sikap setengah pihak yang tidak bertanggungjawab terlibat dengan isu itu sehingga menyusahkan ramai pihak.

"Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha membina dan melaksanakan infrastruktur menara telekomunikasi terpaksa berhadapan masalah kecurian kabel yang kerap berlaku.

"Jadi saya harapkan pihak kami akan mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan, pihak berkuasa tempatan termasuk pihak polis bagi memastikan jenayah ini dapat dikurangkan,"kata Jailani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Internet 1Malaysia(P1M) Celcom Gugusan Hulu Terengganu di Kampung Chapu, Hulu Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat; Pengurus USP Management Celcom Axiata, Zawawi Harun serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Kampung Chapu, Rani Muda.

Menurut Jailani, terdapat 83 menara telekomunikasi di seluruh negeri Terengganu dan akan ada pembinaan baru termasuk di Hulu Terengganu.


"Kos setiap menara bernilai antara RM1 juta hingga RM1.2 juta dan kos akan bertambah mengikut keadaan semasa termasuk kos pengambilan tanah,akses ke pusat tersebut dan sebagainya.

"Kita akan laksanakan pembinaan menara baru di mana kita dapati bahawa masih terdapat kawasan-kawasan termasuk Hulu Terengganu yang kadar liputannya masih kurang dan ini masih dalam penilaian SKMM,"ujarnya lagi.

Sementara itu, Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Chapu akan menjadi pusat pengumpulan setempat atau agihan untuk produk atas talian yang pertama di Semenanjung Malaysia.

Jailani berkata pihak Pos Malaysia akan bekerjasama dengan pihak pengusaha supaya untuk mengumpulkan produk dan memasarkannya bagi meringankan pengusaha luar bandar.

"Pos Malaysia akan datang memungut hasil produk yang telah di kumpulkan di P1M dan akan menyerahkan kepada mana-mana yang nak beli atas talian."katanya.

Menurut Jailani,terdapat sembilan P1M di Hulu Terengganu dan enam lagi tambahan iaitu di Felda Tersat,Chepoh,Felda Bukit Bading,Pasir Tinggi,Felda Jerangau Barat dan Kampung Lerek.


Katanya, pihak SKMM akan turut mempertimbangkan lagi penambahan P1M berdasarkan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan yang memerlukannya.

Tag: