lightning-solid
Berita :
Syarikat Terengganu Catat Hasil Tertinggi Dalam Sejarah, Untung Lonjak Empat Kali Ganda
Syarikat Terengganu Catat Hasil Tertinggi Dalam Sejarah, Untung Lonjak Empat Kali Ganda
Mastura Jamal Din
12 jam yang lepas
248

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Anak Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, TDM Berhad mencatat hasil tertinggi sepanjang sejarah syarikat apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM768 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Menurut kenyataan syarikat, jumlah tersebut meningkat 19 peratus berbanding RM645.6 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula melonjak lebih empat kali ganda kepada RM40.4 juta berbanding RM10.3 juta pada 2024, manakala untung daripada operasi utama sebelum tolak hutang, cukai dan susut nilai (EBITDA) meningkat 25 peratus kepada RM137.5 juta.

Jelas TDM, prestasi kukuh itu didorong terutamanya oleh lonjakan sektor perladangan, yang menyaksikan peningkatan volum jualan serta kecekapan operasi yang lebih baik, meskipun purata harga minyak sawit mentah (CPO) berdepan tekanan akibat peningkatan stok global.

Segmen perladangan mencatat hasil RM399.5 juta bagi tahun 2025, meningkat 37 peratus berbanding RM291.2 juta tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai bagi segmen itu melonjak kepada RM47.1 juta berbanding hanya RM8.2 juta pada FY2024.

Peningkatan tersebut dipacu oleh pertumbuhan volum jualan CPO dan isirung sawit masing-masing sebanyak 25 peratus dan 36 peratus, disokong peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 8 peratus.

Bagi suku keempat 2025 sahaja, hasil perladangan meningkat 60 peratus tahun ke tahun kepada RM126.1 juta, manakala PBT melonjak 70 peratus kepada RM36.3 juta.

Sementara itu, bahagian penjagaan kesihatan mencatat peningkatan hasil sederhana sebanyak empat peratus kepada RM368.5 juta.

Pertumbuhan tersebut disumbang oleh peningkatan jumlah pesakit luar sebanyak sembilan peratus dan peningkatan purata hasil setiap pesakit dalam sebanyak lima peratus.

Bagi tahun 2026, syarikat menyasarkan pertumbuhan berterusan melalui peningkatan hasil, peruntukan modal serta pembangunan hospital baharu (greenfield) untuk meluaskan liputan pasaran.

Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.32 sen sesaham, melibatkan pembayaran RM5.5 juta.


Tag :

Artikel Berkaitan