• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

T-Team Perlu Baiki Segera Mutu Permainan


“Diharapkan T-Team boleh berubah dan memperbaiki mutu permainan ke arah yang lebih baik,” itu peringatan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat kepada skuad T-Team susulan prestasi yang semakin merosot.

Menurutnya, kerajaan negeri cuma memantau pasukan itu dari luar sahaja dan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan T-Team untuk membuat sebarang tindakan bagi memulihkan segera mutu permainan pasukan itu.

“Saya kurang berpuas hati dengan persembahan T-Team sekarang ini, saya tidak tahu apa masalah kerana mutu permainan pasukan ini sangat merosot dan perlu diatasi segera.

“Sekarang ini kita tidak masuk campur, cuma pantau daripada luar sahaja dan serah seratus peratus kepada jurulatih serta pihak pengurusan pasukan dan berharap mereka boleh ambil tindakan segera,” ujarnya.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Kali Ke-20 sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Rozi berkata, kerajaan negeri memenuhi segala keperluan dan menyediakan kemudahan untuk pasukan T-Team, sekali gus mengharapkan pemain dapat menghasilkan prestasi terbaik dan berbaloi.

“Jangan jadi pasukan belasahan, sebab kita telah sediakan semua kehendak mereka. Saya tidaklah memberi kata dua, tetapi saya mengharapkan mereka boleh berubah dan memperbaiki mutu permainan ke arah yang lebih baik.

“Mungkin jurulatih ada perancangan tersendiri dan apa yang dirancang saya tidak tahu. Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan termasuk jurulatih untuk mengetahui apa masalah sebenar,” ujarnya.

Tag: