• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Tahap Kesedaran Mengenai Lembaga Rayuan Perlu Dipertingkat



KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Tahap kesedaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang awam mengenai Lembaga Rayuan perlu dipertingkatkan, ujar Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, orang awam khususnya perlu diberi pendedahan yang lebih meluas agar mereka maklum mengenai hak mereka sekiranya mereka terkilan dengan keputusan perancangan Kebenaran Merancang (KM) yang dibuat oleh pihak PBT.

“Sehingga tahun 2019 Lembaga Rayuan di Negeri Terengganu telah mengendalikan sebanyak 29 kes sejak ditubuhkan pada tahun 1995.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes ditolak, 4 kes diterima dan 11 kes ditarik balik oleh perayu. Manakala sebanyak 2 kes yang didaftarkan pada tahun 2019 sedang menunggu perbicaraan,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Terengganu Sesi 2019 hingga 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, PBT juga diharap akan lebih telus dan berintergriti dalam membuat pertimbangan terhadap permohonan perancangan KM selaras dengan peruntukkan undang-undang sedia ada yang digunapakai di negeri ini.

Menurut beliau, Lembaga Rayuan ditubuhkan di bawah Bahagian Enam (IV), Seksyen 36, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang berfungsi sebagai “Mahkamah Perancangan” untuk mendengar, mempertimbang dan membuat keputusan terhadap kes-kes berkaitan perancangan bandar dan desa.

“Lembaga Rayuan merupakan satu badan berkecuali (independent body) yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri dan dilihat sebagai satu platform bagi Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan pertikaian di antara dua pihak iaitu PBT dan orang awam atau perayu yang terkilan dengan sesuatu keputusan perancangan oleh PBT.

“Tujuan penubuhan Lembaga Rayuan adalah memberi peluang atau saluran kepada orang awam untuk mengemukakan rayuan sekiranya mereka terkilan atau tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan perancangan oleh PBT untuk dipertimbangkan semula,” ujarnya.

Katanya, dengan adanya Lembaga Rayuan, ia akan menjadi medium dalam meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul berkaitan perancangan bandar dan desa.

“Justeru, semua yang dilantik diharapkan dapat menjalankan amanah dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab, seterusnya meletakkan Lembaga Rayuan Negeri Terengganu setanding dengan Lembaga Rayuan di negeri-negeri lain,” ujarnya.

Tag: