• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tahun Melawat Kenyir 2021 Sasar 500,000 Pengunjung

HULU TERENGGANU, 2 Januari- Sempena Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021), kerajaan negeri menyasarkan kehadiran lebih 500,000 pengunjung dari seluruh negara ke tasik seluas 38,000 hektar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, pelbagai acara dan program telah diatur oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sepanjang tahun ini untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Kenyir.

"Alhamdulillah, Tasik Kenyir semakin hari semakin mendapat sambutan. Bagi TMK2021, banyak program yang telah dirangka dari awal Januari sehingga bulan Disember dan kita tutup tahun ini dengan program yang sama iaitu ASEAN MCT.

"Terdapat lebih 20 program yang akan berlangsung dan kita ada paling besar ialah Festival Kenyir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penutup Asean Monsoon Casting Tournament (Edisi Istimewa) Tasik Kenyir di Sungai Leban, hari ini.

Jelasnya, berikutan kekangan pandemik Covid-19 kerajaan negeri turut memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kerajaan negeri memang begitu menjaga keselamatan dan SOP supaya situasi tidak merebak dan dengan penyediaan SOP yang lebih baik daripada KETENGAH, ia mampu membantu menyekat penularan pandemik.

"Selain itu, kita juga amat berharap semua pelancong dan penganjur dapat mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan," katanya lagi.

Tambahnya, pihak pengurusan sememangnya ada menyediakan panduan untuk ke kawasan-kawasan di dalam Tasik Kenyir.

"Kita tidak akan buka sebebas-bebasnya semua kawasan di Kenyir dan tujuannya hanyalah pemuliharaan, contohnya santuari kelah pada musim tengkujuh kita tutup kerana tujuan konservasi.

"Ia tidak menghalang aktiviti pengunjung terutama pemancing yang masuk kerana banyak lagi tempat-tempat yang boleh dijelajahi.

"Ada tempat yang kita beri masuk ada yang tidak atas faktor keselamatan, konservasi dan lain-lain. Ada perkara yang perlu kita urus supaya Kenyir terus menjadi destinasi eko-pelancongan menarik dan mendapat sambutan daripada pelancong luar dan dalam negara," katanya.

AMCT 2020 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini melibatkan lebih 100 peserta. Kejohanan tahunan tersebut juga telah diumumkan bakal menjadi acara penutup TMK 2021 pada tahun ini.

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2021 akan berlangsung pada 17 sehingga 21 Disember ini," maklum Ariffin.

 

 

 

 

 


Tag: