• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tahun Pertanian Terengganu Rancak Berjalan Walau Alami Kekangan

SETIU, 5 Ogos - Hasrat Kerajaan Terengganu menjayakan program Tahun Pertanian terus berjalan di saat sedang berhadapan kekangan akibat pandemik Covid-19 pada waktu ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata,  bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pertanian, penternakan dan perikanan, inisiatif berkenaan tetap diteruskan mengikut segala perancangan dalam keadaan agak terbatas.

"Sebagaimana yang diwarwarkan sebelum ini sebanyak 73 program dan 13 projek disusun, perancangannya tetap diteruskan dengan sempurna, sebab itu sektor ini agak meriah walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kerana kita cuba mencari jalan bagi memastikan setiap perancangan berjaya, walaupun dalam skala terhad agar berjalan dengan lancar.

"Tidak boleh ditangguhkan kerana setiap bulan terdapat sekitar tiga atau empat program perlu dilakukan, jika tidak ia mengakibatkan kita tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kesemuanya. Di antara programnya adalah memperkayakan sumber perikanan sebagaimana termaktub dalam agenda Tahun Pertanian Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKP Rhu 10, di perairan Setiu, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Husin.

Program tersebut katanya merupakan siri yang kedua bagi tahun ini di mana ia mempunyai beberapa siri lagi yang membabitkan kesemua daerah dalam negeri ini.

"Di mana setiap daerah akan mendapat bahagian sama ada tukun ataupun unjam, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta oleh kerajaan negeri dan ditambah sebanyak RM300,000 oleh Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlahnya RM1.5 juta.

"Pagi ini kita melabuhkan unjam di sini dengan kerjasama di antara komuniti nelayan Rhu 10 dan Pantai Bari, dalam jarak lima batu nautika dari pantai bagi mengelakkan unjam rosak, di mana zon A ini dilarang bagi setiap aktiviti berkaitan pukat tunda bagi manfaat nelayan pantai," ujarnya.

Katanya, aktiviti berkenaan akan diteruskan dalam tempoh terdekat untuk diselesaikan segera sebelum Oktober, bagi persiapan menghadapi laut bergelora.


Tag: