Tak Mahu Buang Masa Budak SPM Jadi Penyadap Tuak

KUALA NERUS, 2 Mei - Hanya mempelajari kaedah menyandap nira (tuak) kelapa melalui you tube, dua sahabat karib Aidil Farhan Zailan Zainuddin dan Luqman Hakim Mohd Izham masing-masing berusia 18, kini seakan mahir melakukan pekerjaan itu bagi mendapatkan nira segar.

Lazimnya kerja itu dilakukan mereka yang sudah berusia dan pekebun yang berpengalaman tetapi ia tidak mendatangkan masalah bagi mereka berdua yang masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melakukan pekerjaan itu pada setiap hari di kebun kelapa pandan di Kampung Kesom, Manir, di sini.

Semua teknik, termasuk mengikat, menarah mayang dan memproses nira yang dibubuh keratan kayu cengal dilakukan sebaik mungkin sebelum dijual kepada pemborong dan warung-warung sekitar Batu Rakit.

Aidil Farhan berkata dia tidak mahu membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah sebaik tamat menduduki SPM, sebab itu pekerjaan menyadap kelapa menjadi pilihan.

“Walaupun tiada pengalaman, perkara itu tidak mendatangkan masalah, boleh mempelajarinya melalui you tube dan ada juga  pemilik kebun Mohd Izham Mohd A Wahid yang ajarkan.

“Kini hampir tiga bulan melakukan perkerjaan itu, bulan ini (Ramadan) permintaan berganda daripada pengemar nira, jadi upah yang diterima pun lebih,” katanya.

Sementara itu Luqman Hakim yang juga anak pemilik kebun, berkata sambil membantu ayah, dapat juga duit belanja sementara menunggu keputusan SPM.

Katanya, upah yang diperoleh RM300 seminggu atau bergantung kepada hasil nira sangat bernilai baginya, kerana  itu  gaji hasil pekerjaan pertama sebaik tamat belajar.

“Saya akan gunakan sebaik mungkin hasil upah yang diperoleh, cadangnya mahu mengambil lesen memandu dan  juga sebagai simpanan untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi kemahiran atau universitI nanti,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izham berkata, dia kagum dengan anaknya Luqman Hakim  bersama rakannya itu, walaupun masih remaja, sanggup menggantinya menjaga kebun seluas 1 ekar atau dengan anggaran 90 pokok pandan.

“Rutin harian mereka keluar bekerja  seawal 7 pagi sehingga jam 8.30 pagi, kemudian kembali pula pada petang kira-kira jam 5 hingga 7 petang,” katanya yang bertugas di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
   

 


Tag: