Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
'Tak Sabar Nak Balik Rumah'
MARANG, 30 November - Banjir yang berterusan di Terengganu sejak minggu lalu semakin ke penghujung apabila banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula ditutup sejak semalam.
Antara penghuni terakhir di PPS yang masih ada, Mamat Chik, 61, berharap cuaca baik berterusan kerana sudah tidak sabar untuk pulang ke rumahnya di Kampung Padang Garam.
"Sudah lima malam tinggal di sini. Hari ini pula, tinggal kami tiga keluarga sahaja di sini. Biasanya, seminggu jugalah hendak tunggu air surut di kampung, harap-harap hujan lebat tidak berterusan.
"Mujurlah keadaan di sini agak baik, banjirnya tidak membawa lumpur tetapi airnya lambat surut. Setakat ini, saya akur dengan arahan pihak berkuasa yang belum memberi kebenaran untuk pulang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, pusat pemindahan terakhir yang masih di buka di negeri tersebut.
Dalam pada itu, penghulu mukim Merchang, Adnan Ibrahim menyatakan, situasi 'banjir termenung' di Kampung Padang Garam sebenarnya telah diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sejak tahun lalu.
"JPS sendiri telah menyelenggara aliran air untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun jumlah air yang begitu banyak semasa banjir baru-baru ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh aliran itu.
"Cuma, boleh dikatakan situasi kini lebih baik dan surut lebih cepat berbanding keadaan banjir di kampung tersebut pada tahun-tahun sebelum ini," katanya.
Setakat ini, hanya tinggal tiga keluarga terdiri daripada lapan penduduk dari kampung berkenaan yang masih menetap di PPS terbabit.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, secara keseluruhan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di PPS berlaku dengan baik.
"PPS ini dijamin ialah salah pusat yang mematuhi SOP Covid-19 secara sepenuhnya kerana sekolah ini mempunyai kawasan yang luas dengan kapasiti bilik yang banyak, dan juga jumlah penduduk yang masih boleh ditampung.
"Berkenaan banjir, kita masih bersiap siaga sepenuhnya namun jika ada lagi episod hujan lebat mungkin implikasinya tidak begitu besar kerana menurut Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang turun mengikut purata tahunan hanya tinggal lebih kurang 18 ke 23 peratus sahaja lagi, jadi dijangkakan tidak begitu besar," katanya.