• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Tak Sangka, Ini Sikap Kerajaan Terengganu'

DUNGUN, 2 April - "Tak sangka, rupanya ini sikap (pemurah) kerajaan Terengganu," luah penghuni Taman Rimbunan Kaseh, Zarinah Mohamad, yang selama ini memikirkan dia perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi mendapatkan hak milik rumah yang didiaminya sejak 2015.

Katanya, dia sangat bersyukur kerana hasratnya yang tertangguh sejak 2017 dilunaskan tahun ini.

Katanya lagi, dia juga berasa lega kerana tidak perlu membayar deposit rumah terbabit.

"Bayaran sewa beli pun RM200 sahaja, memang kerajaan bersungguh nak beri kemudahan kepada kami penghuni rumah Taman Rimbunan Kaseh.

"Latar belakang ekonomi kita yang bukan orang berada, terima kasih ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun yang memang bersungguh-sungguh nak tolong kami," katanya yang masih teruja.

Zarinah yang pernah bekerja di ladang tersebut ditemui  media selepas Sesi Taklimat dan Libat Urus Skim Rumah Rimbunan Kaseh, Kampung Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini.

Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh wakil Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Perumahan).

Azlina (tengah) bersama rakan - rakan-rakan yang juga penghuni Taman Rimbunan Kaseh. 

Dalam pertemuan itu, sesi dialog yang melibatkan 85 orang penghuni perumahan dan peserta-peserta projek pertanian yang menjalankan aktiviti  penanaman melon emas, limau kasturi serta penternakan ikan dalam tangki yang terhenti operasinya pada 2018 turut dijalankan.

Sementara itu, bagi Mohamad Zulkifli Razali, 30, dia berasa beruntung kerana menjadi rakyat Terengganu.

"Alhamdulillah, kita mempunyai kerajaan yang sangat memahami kehidupan rakyat berpendapatan rendah seperti kami.

"Dengan keadaan sekarang, payah dah hendak mencari rumah seperti ini, rumah dengan tanah di sekeliling, berharga hanya RM68,000, kadar sewa beli pun hanya RM200," ujarnya yang tidak menduga berita gembira itu selepas pelbagai tanda tanya yang bermain di fikirannya selama ini.

Manakala bagi Azlina Yaakub, 40, berkata, kekusutan yang selama ini menghantuinya sudah terlerai, dia kini sudah boleh menarik nafas lega.

 "Nampak sangat kerajaan sekarang ini hendak menolong kami supaya dapat memiliki rumah yang kami duduk sekarang dengan bayaran yang sangat rendah.

"Memandangkan suami sayapun sakit tak dapat bekerja, jadi dengan berita yang kami terima hari ini adalah berita gembira kami sekeluarga, " ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Alias di dalam ucapan ringkasnya berharap mereka mengambil berat bayaran sewa beli jangan bertangguh membayar.

"Jagalah hubungan dengan Allah dan sesama jiran tetangga, ingatlah bersyukurlah dengan rezeki yang Allah pilih tuan puan menerimanya dalam masa ramai lagi memerlukan rumah sendiri," katanya.


Tag: