Tak Sangka Terpaksa Berpantang di PPS

KUALA NERUS, 11 Disember - Niat seorang suami, Aswari Sabri, 36, mahu membawa isterinya, Nurul Nadiah Abu Fatah, 28, berpantang di kampung (Kg) halaman, Kg Padang Hangus tidak kesampaian apabila terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir.

Aswari yang merupakan antara 82 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (Sk) Bukit Nanas berkata, dia sama sekali tidak menyangka kepulangannya dari Negeri Sembilan tidak 'langkah kanan'.

"Pada awalnya saya telah dimaklumkan oleh adik-beradik, air sungai berhampiran rumah sudah mula naik, tetapi tetap hendak balik kerana tidak menyangka air akan naik terlalu cepat.

"Pada subuh Jumaat dalam masa hanya setengah jam sahaja rumah telah dinaiki air, dengan menggunakan perahu segera dibawa isteri dan anak kecil ini ke PPS.

"Bagi isteri dan saya sendiri ini merupakan pengalaman pertama yang kami tidak pernah jangka, jadi terpaksalah meneruskan tempoh berpantang di sini dahulu sementara banjir surut, tidak dinafikan pergerakan sangat terbatas, namun sangat bersyukur kerana disediakan segala kelengkapan seperti susu, 'pampers' semua ada, malah disediakan makanan khusus untuk isteri yang sedang berpantang,"ujarnya.

Dia yang merupakan anak jati DUN Tepoh yang bekerja di Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika ditemui pihak media, di PPS Sk Bukit Nanas, semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut menyantuni pasangan berkenaan.

Sementara itu, Nurul Nadiah beranggapan bahawa peristiwa itu merupakan pengalaman yang sangat bermakna bagi dirinya kerana selama ini belum pernah mengalaminya.

Hasratnya cuma mahu berpantang bersama kakak iparnya, Sharina Sabri, 39, yang turut melahirkan anak ketiga dan masih baharu sahaja selesai menjalani tempoh berpantang.

Bagi Sharina pula,  sebelum ini ketika awal mengandung cahaya matanya itu telah pun berada di PPS tersebut pada awal tahun kerana kejadian yang sama.

"Akhir tahun setelah Nuh Nabhan Mohd Hishamuddin berusia 48 hari, dibawa pula ke sini sekali lagi kerana berhadapan musibah yang sama, kalau ikutkan untuk melakukan segala pergerakan dan menjaga si kecil ini di sini tidak susah sangat, macam biasa sahajalah," ujarnya lagi.