• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

'Tak Tahu Nak Mula Bersih Dari Mana'

DUNGUN, 29 Disember - " Tak tahu nak mula bersih dari mana," luah salah seorang mangsa banjir yang mana rumahnya paling teruk terjejas akibat tragedi banjir melanda Felda Kerteh 4 baru-baru ini.

Bibi Mazatul Akmal, 47, berkata, selepas air surut dia mula memikirkan bagaimana mahu membersihkan rumahnya yang terendam lumpur dan dimasuki air sehingga ke paras kepala. 

"Saya balik tu jadi tak tahu nak 'start' dari mana untuk bersih.

"Sebab saya masuk rumah tu bau tanah  lumpur sangat kuat ditambah dengan barangan bersepah akibat dinaiki air," katanya ketika ditemui pemberita semasa operasi Gotong-royong Khidmat Malaysia DUN Paka Bersama Agensi Kerajaan di kediaman rumahnya.

Bagaimanapun, dia sangat bersyukur dengan pertolongan yang dihulurkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka, yang memberikan bantuan awal dengan mengeluarkan barang-barang yang bersepah di dalam rumahnya.

"Alhamdulillah, JAM Paka antara yang terawal datang bantu saya dan anak-anak angkat barang-barang yang bersepah.

"Tanpa mereka, mungkin susah kami nak kemas sendiri," ujarnya.

Tambahnya lagi, kerja pembersihan dan mengemas rumahnya turut menjadi ringan dengan kehadiran bantuan daripada pelbagai pihak selepas itu termasuk kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Paka, Muslimat Paka, Kelab Belia yang turut menyertai operasi gotong-royong berkenaan. 

"Sekali lagi saya rasa bersyukur sangat, hari ini ada lagi orang datang berpusu-pusu ke rumah saya untuk melakukan kerja membersih dan memulihkan keadaan rumah saya," jelasnya.

Buat sementara waktu Bibi Mazatul terpaksa menumpang di balairaya yang disediakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Kerteh 4 sementara menunggu rumahnya pulih.


Tag: