• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Taman 'Exotic' Bernuasakan Desa - Ghazali Sulaiman

Ghazali Sulaiman meninjau Bukit Besi Agro Exotic Farm yang menjadi tumpuan pengunjung.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Bukit Besi Agro Exotic Farm merupakan sebuah taman perladangan yang memiliki pelbagai jenis haiwan 'exotic' yang bernuasakan desa.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kedudukannya yang terletak tidak berapa jauh dari Tasik Bukit Puteri akan memahatkan kenangan yang terindah tatkala dilawati.

"Saya menyokong usaha yang dibuat oleh pemilik Taman Ladang 'Exotic ini.

"Ianya benar-benar menzahirkan suasana desa dengan bunyi desiran air daripada bukit yang mengalir sangat menenangkan," ucapnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media sewaktu berkunjung ke Bukit Besi Agro 'Exotic Farm, semalam (18 September).

Menurutnya, tempat tersebut perlu dikembangkan dan dimajukan kerana ianya akan membantu mempromosikan Bukit Besi sebagai hub pelancongan yang terkemuka di Negeri Terengganu.

"Rasailah pengalaman memancing ikan, memberi makan kepada pelbagai jenis landak yang ada di sini.

"Terdapat juga rusa, arnab dan lebih menarik, pengunjung boleh naik jentolak untuk ke ladang penternakan lembu," ujarnya.

Sementara itu, menurut isteri kepada pemilik ladang, Raja Mariani Raja Ali, ramai yang akan berkunjung pada waktu cuti am.

"Rombongan sekolah yang sejauh dari Kuala Lumpur juga pernah datang ke sini," tambahnya.

Antara daya penarik utama guru dan pelajar datang adalah kerana pelajar akan didedahkan dengan pembelajaran bagi menguruskan ladang, serta penjagaan terhadap haiwan eksotik seperti landak dan rusa yang memerlukan penjagaan rapi.

"Di sini juga disedikan aktiviti memancing di mana aktiviti ini tidak menggunakan joran moden tapi menggunakan pelepah kelapa.

"Setelah memancing mereka perlu melepaskan kembali ikan tersebut, jika nak bawa pulang, akan dikenakan bayaran, dan boleh juga ikan itu terus dibakar di tempat yang telah disediakan," jelasnya.

Pengunjung yang hadir digalakkan membawa makanan sendiri bagi menjimatkan kos.

Binatang lain yang ada ialah kancil, Landak Raya, Landak Nibong, arnab dan Rusa Timur Rasis.

"Paling menarik ialah aktiviti mandi di kolam belon, 'Super Doopa' yang diisikan dengan air bukit yang diganti setiap hari bagi memastikan kejernihannya.

"Bagi menampakkan suasana desa di sungai ini, kita bina wakaf dari kayu-kayan," ujarnya.

Menurutnya, beliau dan suami telah membuka 'Agro Exotic Farm' itu bermula dari tahun 2015 lagi kerana minat yang mendalam dan pernah menyertai Pertandingan 'Rural Business Challenge' (RBC)  bagi melayakkan pinjaman bagi mengembangkan lagi perusahaan, tetapi hanya sekadar layak sampai ke separuh akhir.

"Walaupun bagaimanapun, kita akan berusaha mengembang dan memajukan lagi tempat ini.


"Haiwan Eksotik yang ada akan ditambah lagi, bagi memberi jaminan kepuasan dan keseronokan pengunjung," jelasnya.


Tag: