• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Taman Ilmu, Besut Dijangka Beroperasi Oktober Ini

Ahmad Razif  (empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian pegawai kanan kerajaan selepas selesai serah tugas dan angkat sumpah dan serah tugas di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Zulkipli C.W Putra


Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut dijangka akan memulakan operasi pada Oktober ini.

Pembangunan yang diilhamkan ketika era pentadbiran mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 2004 itu kini sedang dalam fasa terakhir disiapkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pusat kecemerlangan ilmu bertaraf antrabangsa itu beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

“Dalam masa terdekat kita akan menguruskan apa-apa kekurangan dan sekarang kita akan mengadakan kerjasama dengan KPT di bawah Dato’Seri Idris Jusoh kerana asalnya Taman Ilmu ini adalah ilham beliau.


“Kita akan mengambil prospek daripada Dato’Seri Idris untuk merealisasikan dan memastikan Taman Ilmu ini dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Angkat Sumpah Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan pemimpin pembangkang dalam portal, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berhubung Taman Ilmu yang dikatakan terbiar dan gagal dibangunkan.

Ahmad Razif berkata, setiap projek yang tergendala dan tertangguh pada zaman mantan menteri besar lalu sekiranya mampu memberi kebaikan kepada rakyat akan diteruskan pada zaman pentadbiran beliau sebagaimana janji sebelum ini.

Taman Ilmu dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai timur (ECER) dibangunkan sejak 2004 melibatkan  kawasan seluas 280 hektar yang bernilai kira-kira RM300 juta,  merupakan projek perkongsian kemudahan pendidikan asas yang mampu menampung perjalanan enam buah institut pengajian tinggi (IPT).

Sementara itu, majlis serah tugas dan angkat sumpah jawatan baharu didahului dengan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk A Rahman yahya dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri menggantikan Dato' A. Rahim Jusoh yang bersara wajib awal bulan lalu. 

Dato' Mohd Akil Mat pula bertukar jawatan Pengarah Jabatan Tanah Dan Galian Terengganu menggantikan Dato' Mohd Kamil Othman yang menerima tugas baharu sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan (penempatan sementara sebelum bersara wajib pada 16 Februari).

Sementara Pegawai Daerah Dungun, Dato' Mohd Yasim Awang dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Terenggganu, diikuti Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu.

YDP Majlis Perbandaran Dungun, Ibrahim Mohamad ke jawatan Pegawai Daerah Dungun dan  Pegawai Daerah Setiu, Shahidan Embok pula sebagai YDP Majlis Daerah Dungun.

Selain itu juga, bekas Pengarah Urusan Tabung Amanah Warisan Terengganu, Mohd Zahari Md Azahar pula menerima tugas sebagai Pegawai Daerah Kemaman dan Pengarah Unit Komunikasi Terengganu, Ab. Rasid Jusoh menerima jawatan YDP Majlis Daerah Besut.



Tag: