• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

DUNGUN, 28 Julai - Tokoh Belia Ma'al Hijrah 1442H Daerah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyarankan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini ditambah agar  lebih ramai dapat menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, dengan hanya dua PPV yang ada ketika ini dilihat tidak mampu menampung  bilangan penduduk yang memerlukan suntikan vaksin dan yang menjadi kerisauan nama mereka belum terpapar di MySejahtera untuk menerimanya sedangkan pendaftaran telah dibuat berbulan - bulan yang lalu. 

"Tambahan lagi, peningkatan positif COVID-19 yang amat membimbangkan di daerah ini di mana dengan dua mukim diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di mukim Sura dan mukim Kuala Dungun dan setiap hari ada sahaja kluster baharu, "jelasnya. 

Baru-baru ini 10 kampung dalam mukim Kuala Dungun telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 Julai sehingga 3 Ogos manakala PKPD di mukim Sura pula dilanjutkan sehingga 8 Ogos setelah ianya dilaksanakan pada 10 Julai hingga 23 Julai lalu. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas mengadakan kunjungan bersama anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun ke dua buah PPV iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini. 

Di dalam kunjungan tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kudapan, roti dan air mineral untuk 'frontliners' bertugas. 

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerusi laman facebook rasminya melaporkan sehingga 28 Julai 2021, penerima vaksin dos pertama di Dungun hanya  seramai 27,663 orang sedangkan 92, 937 orang lagi masih belum menerimanya. 

Dungun  juga, katanya merupakan daerah paling rendah  penerima suntikan vaksin dos pertama jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Terengganu dan  sewajarnya permintaan ini diberi perhatian serius. 

"Walau bagaimanapun kita berharap agar warga Dungun bersabar, insya-Allah akan tiba giliran untuk terima vaksin nanti," ujarnya lagi. 


Tag: