Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri serius memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan sawah padi seluas 700 hektar yang berada di bawah Skim Pengairan Kampung Jelapang, Setiu
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, 300 hektar kawasan teroka asal sedang diusahakan oleh warga kampung sejak awal 70 an lagi manakala 400 hektar yang dibuka kerajaan telah terbiar sejak sekian lama.
“Susulan itu, antara usaha yang dilakukan kerajaan negeri ialah dengan memberi hakmilik kepada orang-orang kampung samada peneroka asal atau waris mereka yang telah membuka tanah sawah tersebut.
“Manakala 400 hektar kawasan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan penglibatan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) bersama pelabur tempatan di bawah Skim Pengairan Kampung Jelapang pada 2009 dengan kos RM47 juta,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Langkap, Azmi Maarof dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan Negeri dan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM459,000 untuk perlaksanaan 17 senarai kerja dalam memastikan infrastruktur sawah padi berada pada tahap optimum pada tahun 2024.
“Antara skop kerja ialah penyelenggaraan perparitan dan saliran, penyelenggaraan rumah pam, baik pulih jalan ladang dan penyelenggaraan pintu air,” ujarnya.